fb fb fb fb fb

Harga rumah tinggi faktor penduduk Pulau Pinang berhijrah beli rumah luas kawasan

TASEK GELUGOR, 18 Mei - Faktor harga rumah tinggi di Pulau Pinang antara penyebab penduduk asal berhijrah ke kawasan sempadan Pulau Pinang, Kedah dan Perak, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Menurut Rubiah, penduduk memilih untuk berhijrah ke kawasan itu kerana mampu memiliki rumah pada harga yang lebih rendah.

Antara kawasan menjadi pilihan penduduk di negeri ini adalah Parit Buntar, Perak iaitu sempadan bahagian Seberang Perai Selatan selain Bandar Baharu, Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

“Sebab itulah bagi memastikan perkara ini dibendung, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mengambil inisiatif menyediakan perumahan-perumahan yang mampu dimiliki oleh masyarakat Pulau Pinang khususnya di dalam kawasan Perda, yang kita kategorikan sebagai kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek-Projek Perumahan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) di sini, hari ini.

(Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada Majlis Pelancaran
Projek-Projek Perumahan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB)/FOTO Perda)

Rubiah turut menyaksikan pelancaran dua buah projek perumahan mampu milik yang melibatkan kos nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.

Kata Rubiah, kedua-dua projek anak syarikat milik penuh Perda dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan dan 2025.

Projek itu melibatkan dua buah taman perumahan iaitu Taman Ara Suria dan Taman Ara Damai di mana kedua-duanya dibangunkan di Tasek Gelugor.

Jelasnya sebanyak 2,072 unit hartanah akan dibangunkan bagi Projek Taman Ara Damai yang ditawarkan pada harga bermula RM42,000 ke RM350,000 berdasarkan jenis rumah.

Manakala bagi Projek Taman Ara Suria akan membina satu blok rumah pangsa kos rendah 15 tingkat yang menawarkan 127 unit kediaman; rumah teres 1 tingkat (386 unit) dan kedai pejabat dua tingkat (51 unit).

"Sehingga kini Perda berjaya menyiapkan sebanyak 10,048 unit perumahan bercampur melalui 24 projek yang dibangunkan sendiri dan empat lagi projek yang dilaksanakan secara usaha sama.

"Daripada jumlah itu sebanyak 5,395 unit adalah rumah kos rendah dan kos terendah," katanya.

Media Baharu