fb fb fb fb fb

SKDS: KPDN sedang selaras rayuan sektor pengangkutan tertentu

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali / Foto Fail Bernama

PUTRAJAYA, 23 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyelaraskan rayuan sektor pengangkutan tertentu, yang ingin menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk dibawa kepada jawatankuasa rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata permohonan lengkap SKDS yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan, akan diberikan kelulusan serta-merta.

“Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta, untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Armizan, kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun ini, membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat minyak pilihan.

Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan pada 12 Jun, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai ini untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS sehingga 30 Jun.

Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik, akan dimaklumkan Kementerian Kewangan, dalam tempoh terdekat.

"Sekiranya berlaku penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusannya," katanya.

Setakat 8 pagi tadi, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN