KENINGAU, 23 Jun-Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng parah dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan di Bukit Barasanon, Jalan Keningau-Sook, malam tadi (Sabtu).
Dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, penunggang motosikal, lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai ketika dihubungi memberitahu, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.40 malam, sepasukan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda bertembung dengan sebuah motosikal. Kejadian dipercayai berpunca sebuah motorsikal hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Akibat perlanggaran penunggang motosikal tercampak 3 meter diatas jalan sebelah kiri sementara pembonceng motor tercampak 5 meter disebelah kiri bahu jalan.
Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara pembonceng motosikal lelaki berusia 21 tahun diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Keningau.
Empat mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda berusia 30 hingga 40 tahun hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.
Kes disiasat di bawah Seksyen.41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.