fb fb fb fb fb

SK Taman Uda juara Pertandingan Lenggok Cinta Sayang RTM

ALOR SETAR, 11 Jun- Tarian Cinta Sayang dan Ayam Didik menjadi tuah buat kumpulan Uda Best Tari dari Sekolah Kebangsaan Taman Uda, Alor Setar apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan Akhir Lenggok Cinta Sayang yang berlangsung di Auditorium RTM Kedah malam tadi.

Selaku juara, mereka menerima wang keseluruhan berjumlah RM10,000 beserta sebuah trofi.

Guru pembimbing tari SK Taman Uda, Mohd Firdaus Ibrahim berkata persiapan rapi telah dijalankan sejak peringkat ujibakat pertandingan itu lagi.

"Latihan sejak daripada ujibakat lagi, lebih kurang sebulan juga persiapannya. Kita fokus untuk kekal positif, kerja keras dan merendah diri selalu. Kemenangan ini adalah titik tolak untuk kami membuat lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Sementara naib juara pula disandang, kumpulan Aurastar dari SMK Tunku Abd Rahman, Alor Setar yang mempersembahkan Tarian Cinta Sayang dan Tarian Mak Inang Tua membawa pulang wang keseluruhan RM5,000 beserta sebuah trofi.

Manakala tempat ketiga disandang kumpulan tari Mustika Sari dari Unit Keseniaan JPN Kedah yang membawa Tarian Cinta Sayang dan Tarian Ronggeng Pak Ungku.

Kumpulan tari ini menerima hadiah wang keseluruhan RM4,000 serta sebuah trofi.

Penyampaian hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.


(Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa
dan Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman bergambar kenangan  bersama para peserta)

Beliau berkata persembahan tari yang dipersembahkan sangat menarik dan perlu diteruskan, ia sekaligus dapat mencungkil bakat-bakat baharu dikalangan generasi muda.

Menurutnya, usaha perlu dilakukan RTM bagi memperbanyakan lagi program-program melibatkan budaya dan seni warisan.

"Saya sangat bersetuju sekiranya banyak lagi benda-benda seni kita tonjolkan mungkin kreativiti saya sangat menyokong usaha untuk seperti ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman menyifatkan persembahan seni tari yang dipersembahkan amat luar biasa.

Katanya, ia bukan sahaja menonjolkan seni tari tetapi juga terselit nilai dan unsur sejarah serta tradisi seni warisan.

"Luar biasa kerana kita tengok anak -anak kecil telah didik betul-betul mereka boleh menunjukkan keluarbiasaan mereka, penuh disiplin. Ini adalah satu cara mendidik kerana ada unsur sejarah apakah maksudnya tarian itu, adakah tarian itu tarian rakyat atau istana, jadi kita boleh belajar,"ujarnya.

Media Baharu