PUTRAJAYA, 30 September- Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) dijangka memulakan operasi pada sesi persekolahan akan datang selepas projek pembinaannya kini hampir siap sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek itu penting bagi memenuhi keperluan pendidikan di kawasan berpenduduk padat khususnya Presint 8 dan sekitarnya.
“Tidak betah mendengar laporan pegawai semata-mata, saya singgah sendiri bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ke tapak pembinaan sekolah ini.
Alhamdulillah, projek berjalan dengan baik dan penantian penduduk di kawasan ini akan berakhir tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan, semua projek pembangunan pendidikan di seluruh negara perlu dipantau secara rapi kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pelaksana yang bertungkus-lumus menyiapkan projek itu demi manfaat pendidikan anak-anak.