fb fb fb fb fb

Lebih 70 peratus veteran ATM pilih bidang keusahawanan setiap tahun

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tiga dari kiri) melepaskan benih ikan patin ketika melawat sangkar ikan yang diusahakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini / Foto BERNAMA

TEMERLOH, 30 September– Lebih 70 peratus daripada kira-kira 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan setiap tahun memilih menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata, mereka dibantu menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM).

“Kalau kita lihat daripada 5,000 yang keluar tu hampir 3,000 orang akan memilih bidang keusahawanan setiap tahun.

Jadi sebab itu kita pantau mereka ini supaya kita dapat pastikan bahawa di samping beri pengetahuan, kita bantu juga dari skim-skim kita,” katanya.

Jelas beliau, PUVET ATM diwujudkan khusus bagi memastikan golongan berkenaan mendapat bimbingan dan sokongan berterusan.

Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan geran hampir RM1 juta setahun.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Peduli Veteran Madani (PVM) di Kampung Pangsenam, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan benih dan makanan ikan kepada veteran ATM, Norizan Johari serta Mohd Zaid Kamarul Ismail yang mengusahakan ternakan ikan patin sangkar.

Selain itu, 13 lagi veteran terdiri daripada asnaf dan balu di sekitar daerah Temerloh turut disantuni.

Dalam pada itu, Adly memaklumkan, setakat ini seramai 36,804 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN