fb fb fb fb fb

SK Lengkuas, Kota Setar rosak 80% akibat banjir

Banjir menyebabkan hampir kesemua perabot dan peralatan sekolah rosak

ALOR SETAR, 3 Disember- 80 peratus peralatan dan kemudahan di Sekolah Kebangsaan Lengkuas di Daerah Kota Setar, Kedah rosak dan musnah dalam kejadian banjir yang melanda negeri itu sejak penghujung bulan lalu.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata, sekolah berkenaan tenggelam hampir 2 meter dan banyak kerosakan berlaku.
 
Ia melibatkan perabot, buku-buku, kerusi dan meja murid dan guru serta alat bantu mengajar.
 
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melihat dan menilai semua kerosakan tersebut dan akan menyalurkan bantuan segera dan penggantian peralatan.
 
Katanya, esok, seramai 160 sukarelawan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan turun ke beberapa buah sekolah yang terkesan banjir untuk operasi mencuci dan membersih kawasan sekolah berkenaan.
 
Ismail berkata demikian kepada RTM selepas melakukan tinjauan kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Lengkuas, Alor Setar, pagi tadi.
 
Jemaah Nazir Kedah bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turun membantu melaksanakan operası mencuci dan membersih kawasan sekolah.
 
Selain SK Lengkuas, Ismail turut melakukan tinjauan di SK Kepala Batas yang turut ditenggelami air.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE