LANGKAWI, 5 Oktober - Sekolah Kebangsaan (SK) Langkawi menerima peruntukan sebanyak RM100,000 selepas terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI bawah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sekolah.
"Antara projek yang dikenal pasti ialah menaik taraf padang sekolah dan penyediaan tempat menunggu untuk pelajar bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran, keselesaan kokurikulum serta persekitaran kondusif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat Madani bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi Ke-12 di sini.
SK Langkawi merupakan Sekolah Angkat MADANI tunggal di pulau itu.
Sementara itu, Guru Besar SK Langkawi, Hazlan Ahmad, ketika ditemui berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaan lebih 700 murid dan guru-guru di sekolah tersebut.
"Projek yang kami rancang adalah untuk menaik taraf padang Sekolah Kebangsaan Langkawi, memandangkan padang sedia ada dilihat kurang selesa untuk digunakan oleh murid-murid ketika menjalankan aktiviti di kawasan tersebut," katanya.
Sekolah Angkat MADANI yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dilancarkan pada 20 Jun lalu merupakan inisiatif nasional untuk memperkukuh pendidikan dengan melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti.
Ia bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan memperkasa pelajar melalui lima komponen utama, termasuk penambahbaikan fizikal, program akademik, pembangunan guru, bantuan kewangan, dan pembangunan sahsiah murid.
Program itu juga salah satu ikhtiar strategik untuk membina jaringan solidariti dan pendidikan yang lebih adil dan seimbang, serta menyemai nilai keterangkuman, kebersamaan, dan kecemerlangan.
