KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, meninggal dunia selepas sembilan hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Naazron Abdul Yusof menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa merupakan seorang penjawat awam lelaki berusia 48 tahun dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi tadi.
“Jenazah akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Kajang. Ini menjadikan dua mangsa maut dalam kejadian tersebut,” katanya.
Kemalangan yang berlaku pada 27 September lalu melibatkan sebuah lori, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV).
Siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek, menyebabkan nahas tersebut yang turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun, manakala tujuh individu lain cedera.
Pemandu lori berusia 42 tahun telah direman sehingga 1 Oktober bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Naazron, laporan penuh siasatan masih dalam proses, sementara pihak polis menunggu keputusan analisis daripada agensi berkaitan.
