fb fb fb fb fb

Situasi jerebu rentas sempadan mula tunjuk pemulihan – METMalaysia

Situasi jerebu rentas sempadan yang menjejaskan beberapa negeri di bahagian barat Semenanjung sejak semalam dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pemulihan / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Situasi jerebu rentas sempadan yang menjejaskan beberapa negeri di bahagian barat Semenanjung sejak semalam dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu dikesan hasil pemantauan berterusan di beberapa stesen yang menunjukkan bacaan kualiti udara semakin stabil, dipercayai susulan pengurangan jumlah titik panas di wilayah Sumatera, Indonesia.

“Semalam kita dikejutkan dengan kejadian jerebu rentas sempadan yang berlaku di beberapa negeri di bahagian barat Semenanjung, melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Alhamdulillah, berdasarkan cerapan dari stesen-stesen negeri terbabit, kita dapati situasi jerebu semakin pulih hari ini. Ini mungkin berpunca daripada bilangan titik panas yang semakin berkurangan di Sumatera," katanya ketika dihubungi RTM.

2007 REAX KP METMSIA JEREBU 2Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip / Foto Bernama  

Jelas beliau, laporan semalam mencatatkan sebanyak 79 titik panas, namun angka tersebut menurun kepada 65 titik panas hari ini.

“Kita berharap bilangan titik panas ini akan terus berkurangan bagi mengelakkan asap jerebu bergerak ke negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Hisham turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengelakkan aktiviti luar, khususnya di kawasan yang terjejas, bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan.

Katanya, METMalaysia akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap keadaan jerebu dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi agensi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN