KAJANG, 20 Julai – Seramai 185 pasukan dari tujuh negara menyertai World Robot Contest (WRC) Malaysia International 2025 yang berlangsung selama dua hari di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), menjadikannya antara kejohanan robotik dan kecerdasan buatan (AI) terbesar di rantau Asia Tenggara.
Penganjuran edisi ketiga itu diselaraskan oleh Intelek Education Solutions Sdn. Bhd. dengan kerjasama ZMROBO, UNITEN dan Methodist College Kuala Lumpur (MCKL), melibatkan penyertaan pelajar berusia lima hingga 18 tahun dari Malaysia, China, Thailand, Myanmar, India, Korea dan Jepun.
Antara kategori dipertandingkan termasuk Super AI Challenge dan Alpha Challenge, yang memfokuskan pembangunan robot pintar menggunakan kit ZMROBO yang diiktiraf secara rasmi di Malaysia.
Majlis penutup yang berlangsung hari ini di Dewan Seri Sarjana, UNITEN menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang utama bagi setiap kategori, menandakan kejayaan penganjuran yang semakin berkembang sejak diperkenalkan pada 2023.
Ketika itu, hanya 80 pasukan mengambil bahagian, sebelum meningkat kepada 173 pasukan pada 2024, dan kini mencatat 185 penyertaan, satu pertumbuhan signifikan yang sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat teknologi pendidikan dan inovasi robotik di peringkat serantau.