(Foto fail)
PUTRAJAYA, 23 Mei- Kerajaan sedang memperhalus kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Menurut beliau mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran.
"Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri di plaza tol dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya.
"Buat masa ini kerajan sedang menghalusi MLFF ini bagi perkhidmatan terbaik kepada pengguna jalan raya," kata Abdul Rahman dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.
Mengenai sistem RFID beliau berkata sememangnya berlaku kekurangan aspek teknikal ketika dalam proses menambah baik dan memantapkan sistem itu.
Sehubungan itu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat pengendali lebuh raya agar membuat pelarasan lebih kerap di lorong tersebut agar kecekapan dapat ditingkatkan.
(Datuk Seri Abdul Rahman berkata sistem kutipan tol MLFF sedang diperhalus)