(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid semasa sidang media selepas merasmikan SEMICON
Southeast Asia 2023/BERNAMA)
BAYAN LEPAS, 23 Mei- Operasi Lembah Silikon Pulau Pinang dicadang diperluas ke kawasan Seberang Perai melibatkan perusahaan semikonduktor dan pembangunan fasiliti teknologi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peningkatan pengeluaran boleh memperkukuh kedudukan negara selaku pengeluar.
Kerajaan bercadang mengukuhkan lagi ekosistem semikonduktor di Malaysia dan berharap mencapai 15% bahagian pasaran bagi aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan menjelang 2030 berbanding 13% pada masa ini.
"Bahagian pasaran dalam bahan-bahan semikonduktor yang bernilai RM1 trillion, Malaysia berada di kedudukan ketujuh di dunia.
"Dan pengeluaran semikonduktor menyumbang kira-kira 15% dalam pasaran. Jadi perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang agar lembah silikon di Pulau Pinang bukan sahaja ditambah luas ke seberang, tetapi mungkin kita boleh bekerjasama dengan MITI, MIDA dan agensi lain untuk mengembangkan fasiliti semikonduktor ke kawasan lain...mungkin ke Parlimen Bagan Datoh," kata beliau dalam sidang akhbar selepas merasmikan SEMICON Asia Tenggara 2023 di sini.
Beliau berkata Malaysia muncul antara 10 hab global terbaik bagi semikonduktor dan elektronik yang menyaksikan negara ini menjadi pengeksport ketujuh terbesar dunia, dengan bahagian pasaran sebanyak tujuh peratus.
Menurut Ahmad Zahid, status Malaysia sebagai pusat pelaburan global telah menarik banyak syarikat berteknologi tinggi dari seluruh dunia untuk beroperasi di negara ini.
“Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk memperincikan keseluruhan rantaian bekalan dan membangunkan campur tangan bersasar yang menyokong industri dan memacu pertumbuhan.
“Dengan mengadakan kerjasama, negara dapat mencapai matlamat bersama dan memastikan kejayaan jangka panjang industri dan negara. Ini diharap dapat memacu potensi Malaysia untuk muncul sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara satu hari nanti," katanya.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (kanan) diiringi Chow Kon Yeow (dua, kanan) melawat pameran
pada Majlis Perasmian SEMICON Southeast Asia 2023/BERNAMA)