fb fb fb fb fb

Sistem GeoTanaman menggantikan peranan "Orang Tengah"

SUNGAI PETANI, 16 Oktober- Lebih 2,000 pengguna yang terdiri daripada petani, pemborong, pengusaha IAT dan kedai input pertanian telah berdaftar dalam Sistem GeoTanaman.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan, sistem ini dapat menemusuakan terus petani dengan pemborong dan kedai input pertanian tanpa melalui orang tengah.


(Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan)

"Sistem ini dapat membantu khidmat pengembangan pertanian dilaksanakan secara lebih berkesan supaya pemain industri pengeluaran makanan dapat meneruskan aktiviti pertanian dan memasarkan hasil pertanian dengan lebih efisien," katanya ketika menghadiri Program Jelajah Sistem GeoTanaman Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah di sini.

Ujar Zahimi lagi, sistem ini bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat tanaman makanan negara, malah kita boleh mengurus dan menganalisis maklumat serta data guna tanah tanaman makanan bagi keseluruhan Semenanjung Malaysia dan W.P. Labuan.

Katanya lagi, sistem ini dibangunkan menggunakan konsep 'service oriented architecture' yang boleh dicapai melalui web dan aplikasi mobile. Sesuai dengan trend semasa, semua perkara di hujung jari. Justeru, sistem ini juga boleh diakses menggunakan telefon pintar sekaligus menjimatkan kos, mesra pengguna, interaktif, mudah difahami dan boleh diakses oleh semua pemegang taruh.

Bermula tahun 2023, Jabatan Pertanian akan mengutamakan petani yang berdaftar dengan Sistem GeoTanaman untuk dipertimbangkan sebagai penerima insentif projek pembangunan pertanian. Sehubungan itu, semua petani yang telah mendapat bantuan daripada pihak Jabatan terutamanya peserta TKPM dan penerima insentif di bawah RMK-12 diwajibkan mendaftar dalam sistem ini.

Program yang dirasmikan Datuk Azman Nasrudin, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Kedah telah dihadiri seramai lebih 70 orang yang terdiri daripada petani, pemain industri, pemilik kedai input pertanian dan agensi-agensi berkaitan pertanian dari seluruh negeri Kedah.

Media Baharu