fb fb fb fb fb

Kerajaan turut beri perhatian khusus kepada masyarakat India - PM

BERA, 16 Oktober - Kerajaan sentiasa memberikan perhatian khusus kepada masyarakat India dengan memberikan penekanan terhadap aspek pendidikan serta pembangunan sosioekonomi komuniti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dibuktikan dengan pengisian Bajet 2023 yang meliputi pelbagai inisiatif khusus kepada masyarakat India, seperti RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

"Dahulunya MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, namun kini dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, diletakkan di bawah Perdana Menteri sendiri. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan ekonomi kaum India di Malaysia.

"Selain itu, peruntukan RM25 juta diberikan bagi Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," kata Ismail Sabri dalam ucapannya di sini.

(Ismail Sabri ketika ditemui media pada Majlis Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera
di Dewan Kompleks UMNO Bahagian Bera, di sini)


Tambah beliau, menyentuh aspek pendidikan, walaupun tidak dinyatakan secara khusus, peruntukan juga diberikan untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil selain peruntukan tambahan RM5 juta kepada RM25 juta setahun kepada Universiti AIMST, iaitu universiti swasta dimiliki MIC dan berpusat di Sungai Petani, Kedah.

Kerajaan juga katanya, telah melaksanakan pelbagai latihan untuk menambah kemahiran dan latihan semula yang memanfaatkan 42,544 pelatih kaum India setakat Ogos lepas, dengan nilai latihan berjumlah hampir RM77 juta.

Bagi penempatan pekerjaan, seramai 68,996 komuniti India telah dibantu sehingga September lepas dalam pelbagai bidang kemahiran dan industri.

Dalam majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 800 komuniti masyarakat India sempena perayaan Deepavali yang bakal tiba pada 24 Oktober nanti.

Media Baharu