KUALA TERENGGANU, 16 Oktober- Litar pintas dikenal pasti punca kebakaran deretan rumah kedai di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada September lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid menjelaskan siasatan mendapati masalah pendawaian elektrik yang lama dan usang telah menyebabkan litar pintas seterusnya mengakibatkan kebakaran.
Kerugian akibat kejadian tersebut hampir RM2 juta manakala harta yang berjaya diselamatkan dianggar RM1.2 juta.
"Bangunan ini adalah milik persendirian dan kita tiada kuasa untuk memasuki premis terbabit, cuma boleh menasihati penghuni supaya memperbaharui pendawaian di premis masing-masing," katanya.
(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid)
Dalam kejadian pada 19 September lepas, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Justeru jelas beliau, pihaknya sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai masalah pendawaian di Kampung Cina yang membabitkan bangunan lama.
"Jadi kita akan bertemu dengan penghuni bangunan lama di sekitar bandar raya ini bagi memberi penerangan berhubung dengan pendawaian elektrik ini," katanya.