Singkap sejarah teknologi penulisan: Pameran Mesin Taip kini berlangsung di Muzium Etnografi Melayu

Pameran Mesin Taip berlangsung dari 1 September hingga 30 November 2026 di Muzium Etnografi Melayu, Kuala Lumpur/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Lebih 50 mesin taip kini dipamerkan di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sempena Pameran Mesin Taip hingga 30 November depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pameran menampilkan enam segmen termasuk evolusi reka bentuk, jenama, koleksi tokoh, aksara dunia, warisan Jawi dan segmen interaktif.
  • Koleksi dihimpun buat julung kali daripada muzium, galeri, perpustakaan dan kolektor tempatan.
  • Pameran memelihara dan mendokumentasikan sejarah mesin taip, serta mengimbau nostalgia pengalaman sebelum era digital.

Menurut Kurator muzium berkenaan, Mohammad Anis Abdul Samad, koleksi berkenaan dihimpunkan buat julung kalinya yang diambil dari muzium, galeri, perpustakaan dan kolektor tempatan.

Beliau berkata, pameran berkenaan mengetengahkan enam segmen utama merangkumi Evolusi Reka Bentuk, Jenama dan Model Mesin Taip Moden, Koleksi Tokoh, Aksara Bahasa Dunia, Warisan Mesin Taip Jawi serta Segmen Interaktif.

“Orang ramai boleh melihat secara dekat bagaimana alat ini berevolusi dari segi perkembangan reka bentuk, jenama dan model mesin taip bermula dari awal ia berada di pasaran hingga ke penghujung zaman kegemilangannya pada abad ke-20.

“Antara yang mencuri tumpuan ialah mesin taip dalam pelbagai aksara termasuk tulisan jawi, arab, tamil dan beberapa mesin taip untuk tulisan braille,” jelasnya ketika ditemui RTM.

Foto RTM

Sementara itu, ahli akademik, Profesor Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata penganjuran pameran berkenaan merupakan antara usaha untuk memelihara serta mendokumentasikan sejarah perkembangan mesin taip dan teknologi penulisan di Malaysia.

“Ini juga merupakan peluang kepada pengunjung untuk mengimbau nostalgia dan pengalaman menggunakan mesin taip termasuk kesukaran dan halangan yang mereka hadapi ketika menggunakan alat itu,” ujarnya.

Manakala pensyarah Akademi Pengajian Melayu UM Dr. Mohammad Nazzri Ahmad menyatakan, orang ramai boleh menelusuri evolusi teknologi penulisan yang pernah menjadi sebahagian daripada dunia pekerjaan sebelum kemunculan teknologi digital.

“Saya antara generasi yang beruntung kerana dapat melalui dua zaman iaitu zaman mesin taip yang mekanikal dan sempat merasai zaman mesin taip secara elektronik. Antara yang boleh dikenang apabila tersilap menaip satu huruf, saya terpaksa membatalkan keseluruhan tugasan itu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.