KUALA SELANGOR, 30 Jun- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendirian isu Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) yang melanda Jepun kini tidak membahayakan kesihatan awam di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini Malaysia berpendirian ia tidak berisiko berikutan masih tiada sebarang maklumat atau perkembangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Ianya belum ada apa-apa perkembangan dan kemas kini.. dan saya mengambil sikap ia bukan satu cabaran atau 'not the public health hazards' dalam konteks saat ini," katanya selepas Majlis Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Selangor 2024 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini.
Maklumat terbabit penting supaya Malaysia dapat membuat persediaan serta mengambil langkah sewajarnya.
Terdahulu, Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID) melaporkan Jepun mencatat lebih 1,000 kes STSS pada tahun ini.
Menurut data NIID, setakat 9 Jun lalu, jumlah kes awal mencecah 1,019, menandakan peningkatan ketara dalam penyebaran jangkitan bakteria itu berbanding tahun sebelumnya.