fb fb fb fb fb

Kantin sekolah menengah diarah tutup selepas 11 pelajar keracunan makan ayam gunting

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 30 Jun - Kantin di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor diarahkan tutup selama 14 hari sehingga 11 Julai hadapan, selepas 90 pelajar dan sembilan warga pendidik terkesan akibat keracunan makanan dipercayai memakan ayam goreng di kantin tersebut, Khamis lalu. 

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata arahan penutupan kantin yang berkuatkuasa pada 28 Jun lalu itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pemeriksaan dilakukan dan pengambilan sampel makanan di kantin berkenaan juga turut diambil serta dihantar ke makmal untuk disiasat.

Katanya, keputusan ujian makanan dijangka diperoleh dalam masa tiga hari.

"Kita dah ambil sampel makanan dan dihantar ke makmal untuk kajian dahulu dan kemungkinan adalah ayam goreng.

"Siasatan dijalankan dalam masa penutupan ini. Pihak kantin perlu bersihkan kantin premis mereka di sekolah," katanya pada sidang media selepas Kempen Saringan Diabetes oleh Hospital Pakar Regency di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, 99 individu terkesan akibat keracunan makanan, hanya 11 pelajar daripadanya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan swasta.

Mereka mendakwa makan ayam gunting dan air balang di kantin sekolah itu.

Manakala selebihnya, hanya mengalami simptom ringan dan tiada pelajar yang dimasukkan ke hospital.

Beliau menasihatkan semua pihak agar sentiasa mengamalkan tiga kaedah iatu lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan atau minuman bagi mengelakkan terkena keracunan makanan.

GRACE AISYAH KEDAYAN