fb fb fb fb fb

Sindiket seludup warga asing tumpas, menyamar jadi atlet sukan

Foto FB JIM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Satu sindiket menyeludup masuk warga asing berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Modus operandi yang menggunakan taktik penyamaran sebagai atlet sukan ke Malaysia, berjaya dikesan pihak berkuasa.

Tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai mendalangi sindiket itu ditahan menerusi satu operasi khas yang diadakan pada 3 Oktober lalu, di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi khas berkenaan melibatkan sepasukan pegawai dan anggota, bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Katanya, dua lelaki warganegara Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa.

Pemeriksaan lanjut di lokasi sama turut membawa pasukan operasi kepada tangkapan seramai 18 orang lelaki warganegara Bangladesh.

Kesemua warga asing yang ditahan itu berusia lingkungan antara 21 hingga 33 tahun sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan seramai 21 orang.

Pasukan operasi telah merampas 18 pasport Bangladesh, wang tunai bernilai RM990 dan surat jemputan menyertai pertandingan sukan di negara, yang dipercayai palsu.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Lenggeng untuk disiasat lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4), Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM