fb fb fb fb fb

Dzulkefly nafi KKM lambat bertindak susulan kematian doktor

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUNCAK ALAM, 6 Oktober- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan kononnya Kementerian Kesihatan (KKM) lambat bertindak melaksanakan siasatan berhubung kematian seorang doktor di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai silap dan tersasar.

"Kami menyiasat perkara itu dengan segera. Apa yang kita lakukan baru ini adalah satu keputusan daripada keputusan awal berhubung insiden berkenaan.

"Penemuan yang kami tidak umumkan daripada keputusan yang awal itu untuk mewujudkan dan panel bebas. Setiap seorang itu adalah bukan dari KKM Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBas) peringkat negeri Selangor, di Puncak Alam.

Bagaimanapun Dzulkefly memaklumkan satu pasukan petugas khas bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian pakar patologi dari Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa menjadi mangsa buli di tempat kerja.

Tambahnya, pasukan petugas khas tersebut dianggotai lima ahli bebas akan berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.

Pada masa sama beliau menyeru orang ramai tidak membuat andaian sehingga kes berkenaan selesai disiasat.

Dalam pekembangan lain, sejumlah 8,500 premis di seluruh negara diberi amaran kerana melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa bermula 1 Oktober lepas.

Namun, pelaksanaan akta berkenaan masih di peringkat penguatkuasaan pendidikan bagi memastikan masyarakat celik pengetahuan tentang undang-undang berkenaan.

Dzulkefly berkata, mereka yang merokok di kawasan larangan tetap diberikan kompaun seperti undang-undang sedia ada.

"Itu kita lakukan dalam fasa berperingkat melalui apa yang diistilahkan sebagai pendidikan penguatkuasaan.

"...dan kita berikan antara enam hingga 12 bulan supaya ia dapat difahami. Kita tidak mahu hanya sekadar untuk memaksa tetapi mereka melaksanakan itu tahu tanggungjawab," katanya.

Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lepas berkuat kuasa 1 Oktober serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah bawahnya.

Ia bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik terutama dalam kalangan golongan muda.

Penguatkuasaan itu antara lain melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI