fb fb fb fb fb

Karnival Pahang Bersih: SWCorp kumpul 5 tan bahan terbuang

Karnival Pahang Bersih Makmur anjuran SWCorp berjaya mengumpulkan sebanyak 5052.8 kilogram barangan kitar semula sepanjang karnival berlangsung/Foto FB SWCorp Pahang

LIPIS, 6 Oktober - Sebanyak 5 tan bahan terbuang bernilai RM10,000 berjaya dikumpul dalam tempoh sehari sempena Program Bandar Bersih: Karnival Pahang Bersih Makmur 2024.

Dari jumlah tersebut, minyak masak mencatatkan pengumpulan tertinggi iaitu 2.8 tan, manakala selebihnya terdiri daripada kertas, plastik, dan aluminium.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid, berkata program "Trash To Cash" telah dihebahkan kepada penduduk setempat selama dua minggu sebelum karnival berlangsung.

Beliau menekankan sambutan positif yang diterima menunjukkan kesedaran masyarakat akan manfaat amalan kitar semula, yang tidak hanya mengurangkan sisa tetapi juga memberi pulangan tunai.

"Kita perlu mengasingkan sampah dengan betul. Walaupun hasil jualan mungkin hanya 20 sen, yang penting adalah kesedaran untuk memulakan pengasingan di rumah.

"Sisa domestik seharusnya dipisahkan dari sisa kitar semula, yang kemudian boleh dihantar ke pusat kitar semula apabila sudah penuh," katanya selepas Program Bandar Bersih: Karnival Pahang Bersih Makmur 2024 malam Sabtu.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga merupakan Ahli Parlimen Lipis.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata menerusi program Trash to Cash yang dikendalikan oleh SWCorp Pahang, komuniti berpeluang untuk menjual barangan kitar semula yang dikumpulkan secara berjadual di lokasi yang ditetapkan.

Katanya, untuk tahun ini, sehingga Ogos 2024 sebanyak 596,490.70kg barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan dan diselamatkan dari dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah.

Di samping itu juga, SWCorp Negeri Pahang bersama-sama dengan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) telah mengedarkan sebanyak 150 unit tong mudah alih bersaiz 120 liter kepada penduduk di Lipis bagi menggantikan tong-tong yang lama yang telah digunakan lebih daripada 10 tahun.

GRACE AISYAH KEDAYAN