JOHOR BAHRU, 24 September- Polis Johor berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah sekali gus memberkas 17 suspek termasuk lima wanita menerusi lima operasi berasingan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Jumaat dan semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket itu menyewa rumah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Sindiket yang aktif sejak Julai tahun ini memasarkan dadah-dadah pelbagai bungkusan minuman ke kelab-kelab malam.
Hasil operasi itu berjaya merampas, 45 botol cecair ecstacy (14.85 liter), serbuk ecstacy (21.66 kilogram), ketamine (599 gram) dan pelbagai dadah lain bernilai RM1.6 juta.
Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM2.6 juta termasuk menyita tujuh buah kereta, barang kemas dan wang tunai (ringgit dan wang asing).
"Kalau dilihat kepada dadah yang dirampas ia mungkin dibawa dari luar negara, atau diproses sendiri di dalam negara. Namun ia masih disiasat lagi," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.
(Datuk Kamarul Zaman Mamat)
Sementara itu dalam perkembangan lain, dua lelaki warga tempatan diberkas bagi membantu siasatan susulan pergaduhan antara dua kumpulan motosikal ketika penganjuran Desaru Bike Week di Kota Tinggi, Johor pukul 9.00 malam semalam.
Kedua-dua suspek tempatan berusia 30 dan 50 tahun itu ditahan pagi tadi di Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, salah seorang suspek cedera di kepala dan menerima empat jahitan dipercayai akibat salah faham.
"Pada peringkat awal warga asing melibatkan kumpulan Hail Anger Arizona Amerika Syarikat (USA) datang dalam 70 hingga 80 orang telah dikacau kumpulan tempatan. Ia mungkin disebabkan salah faham berikutan perkataan mencabar," katanya.
Suspek akan direman selain usaha memburu individu lain terlibat diperhebat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 kanun keseksaan kerana merusuh.