(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 24 September- Golongan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana, PMKS perlu diberi kemudahan dalam mengakses kewangan, tidak terhad daripada institusi kewangan semata-mata.
Menurut Penganalisa Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik, bersempena dengan Belanjawan 2024 pihaknya berharap dengan kemudahan akses kewangan ini, PMKS akan dapat menjana lebih pendapatan, mendatangkan pelaburan yang berkualiti dan lebih berdaya tahan.
"Yang pertama menyediakan dana mudah akses oleh peminjam, bukan hanya terhad kepada sektor institusi kewangan sahaja, seperti agensi-agensi.
"Kedua suburkan sektor pembiayaan alternatif seperti 'P TO P crowd funding', ekuiti persendirian dengan membantu dan mengawal selia supaya kadar cas yang lebih kompetitif.
Menurut beliau lagi, ke arah tersebut kerajaan juga disaran untuk melakukan intervensi bagi mengukuhkan pelaksanaan ini.
Selain daripada itu, akses bagi pembiayaan hijau kepada golongan ini juga dilihat membantu menambahbaik perniagaan PMKS yang sejajar dengan matlamat pembangunan mampan negara.
Ia juga boleh mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan dan mengalihkan modal ke arah sektor ekonomi yang seiring dengan transformasi sumber tenaga ke arah hijau dan rendah karbon.
Beliau turut menyarankan agar penurunan cukai perniagaan bagi syarikat berkaitan digital dilaksanakan dalam menarik pemain industri berkaitan beroperasi di Malaysia yang secara tidak langsung turut menarik pelabur dari seluruh dunia.

(Penganalisa Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik)