KUALA LUMPUR, 2 September - Majoriti ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh kurang daripada lima tahun selepas persaraan, berdasarkan statistik institusi tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana ia boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat.
"Ia secara tidak langsung mewujudkan tekanan kewangan kepada kerajaan untuk menyediakan
perlindungan sosial tambahan bagi golongan warga emas yang tidak mencukupi simpanan persaraan," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab Senator Datuk Koh Nai Kwong yang menyuarakan keperluan untuk memberi pilihan kepada pencarum bagi skim pembayaran pencen secara bulanan melalui KWSP.
Menurut Amir Hamzah, setakat Julai 2025, sebanyak 38.3 peratus ahli aktif formal KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur, peningkatan yang signifikan berbanding 30.4 peratus pada Disember 2022 iaitu setelah impak pengeluaran berkaitan COVID-19.
