fb fb fb fb fb

Khidmat Jabatan Bantuan Guaman diperluas ke Sandakan, Tawau - Kulasegaran

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 2 September - Perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) akan diperluas ke kawasan Pantai Timur Sabah menerusi cadangan penubuhan dua cawangan baharu di Sandakan dan Tawau.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, JBG sedang menyediakan kertas permohonan untuk penubuhan pejabat berkenaan bagi diangkat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Jabatan Perdana Menteri untuk pertimbangan lanjut.

"JGB sebelum ini meneliti bagi menubuhkan pejabat cawangan baharu bagi menampung keperluan bantuan guaman di Sabah. JBG telah mengenal pasti keperluan mewujudkan pejabat cawangan di Sandakan dan Tawau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Cadangan itu dikemukakan Senator Anna Bell Suziena Perian yang meminta kerajaan mempertimbang pembukaan pejabat JBG di kawasan Pantai Timur Sabah yang ketika ini hanya mempunyai satu pejabat di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata program 'Justice on Wheels' (JOW) yang dilaksanakan JBG sejak 2024 akan diperluaskan ke seluruh negeri.

Katanya, sebanyak 11 buah van JOW baharu akan ditambah tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM3 juta.

Setakat Julai 2025, sebanyak 50 program JOW telah dijalankan di pelbagai negeri termasuk Sabah meliputi kawasan seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Pitas, Tongod, Sopitang dan lain-lain.

GRACE AISYAH KEDAYAN