fb fb fb fb fb

Sikap pemimpin politik sebar fitnah, reka cerita cetus dosa berangkai dalam masyarakat - Khairuddin

KUALA LUMPUR, 27 September - 'Dosa mencipta fitnah dan cerita rekaan adalah besar dalam Islam apatah lagi apabila diucapkan oleh pemimpin besar politik', kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata tuduhan dan sangkaan jahat daripada seorang pemimpin Islam tidak sepatutnya berlaku sehingga mencetuskan pelbagai persepsi jahat dan mencipta dosa yang berangkai dalam masyarakat.

"Apabila pemimpin politik berjenama Islam di pentas politik di Pelangai dengan seronok dan penuh gembira mencipta fitnah kononnya ucapan Perdana Menteri di UNGA tidak ramai pendengar, lalu diperlekehkan dan diejek.

"Penyampaian khutbah pun turut diejek, Kemudian mencipta satu lagi fitnah ada setiausaha menteri ke Amerika Syarikat (AS) bermain golf ketika persidangan UNGA ," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, mencipta fitnah dan cerita rekaan adalah satu dosa besar dalam Islam dan ia boleh menjadi berlipat ganda apabila disebarkan dari mulut ke mulut.

"Ia diviralkan di media sosial dan tentu dalam masa 24 jam sudah jutaan manusia mempercayainya lantas mengulas dengan pelbagai lagi tuduhan dan sangkaan jahat.

"Setelah dibetulkan maklumat yang salah itu, maklumat sebenar tentulah tidak akan sampai kepada semua yang telah menerima berita fitnah di awal tadi.

"Maka, kekallah dosa fitnah menjadi berangkai dosanya. Itulah kesan fitnah yang mencipta dosa yang berangkai," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperlekeh penampilan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York baru-baru ini.

Sanusi berkata demikian pada Ceramah Perdana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di Bentong pada Ahad (24 Sept) lalu.



Media Baharu