fb fb fb fb fb

Sijil Vaksin Palsu: 3 pekerja klinik swasta ditahan polis Johor

JOHOR BAHRU, 19 Januari - Polis Johor berjaya menahan 3 pekerja klinik swasta kerana disyaki terlibat menjual sijil digital vaksin tidak sah dalam serbuan kelmarin dan semalam di sebuah klinik di Johor Bahru.

Turut ditahan 5 pembeli sijil palsu tersebut dengan kesemua suspek berumur 24 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sindiket yang hampir sebulan beroperasi itu menawarkan harga sekitar RM350 hingga RM650 bagi satu vaksin tanpa suntikan sebelum mengeluarkan sijil digital palsu tersebut.

"Cara mereka ni adalah dengan menguar-uarkan kepada sesiapa yang tidak ingin mengambil vaksin jadi itulah sasaran daripada sindiket ini mencari mereka yang tidak ingin mengambil vaksin tapi hendak sijil vaksin untuk digunakan seperti orang telah divaksin dan ini adalah amat merbahaya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

30 individu lain dari Pahang, Terengganu, Sabah , Selangor dan Pulau Pinang dipercayai sebagai pembeli sijil vaksin palsu berkenaan turut dikesan dan diminta tampil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 serta turut disiasat Seksyen 22 9(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Media Baharu