fb fb fb fb fb

MARITIM Johor patahkan cubaan PATI masuk perairan negara

PONTIAN, 19 Januari - Cubaan 6 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki perairan negara di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai, Pontian pada 10:45 malam tadi, gagal.

Mereka yang terdiri daripada 3 lelaki dan 3 wanita warga Indonesia berumur 23 hingga 36 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor.

Pengarah MARITIM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria memaklumkan ketika kejadian mereka sedang menaiki bot kayu dari Tanjung Balai, Karimun, Indonesia.

"Siasatan awal mendapati tekong bot yang membawa PATI terbabit telah melarikan diri.

"Dia menggunakan sebuah bot laju lain ke arah Indonesia, selepas menyedari kehadiran bot ronda MARITIM," katanya dalam satu kenyataan.

Bot beserta enjin 40 kuasa kuda terbabit kemudian dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai.

Manakala kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Media Baharu