(Foto fail)
SEMENYIH, 13 Jun- Peratusan syarikat bumiputra Muslim yang mempunyai kesedaran untuk memohon persijilan halal JAKIM semakin meningkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, ia didorong faktor jumlah syarikat bukan Islam yang mendapat sijil halal lebih tinggi berbanding syarikat bumiputera Muslim, terutama dalam industri makanan.
Menurut rekod JAKIM, sehingga April lalu, hampir 72% daripada keseluruhan 229,000 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki syarikat bukan Islam.
"StatistiK JAKIM bahagian halal menunjukkan permohonan persijilan halal dalam kalangan usahawan bumiputra khususnya usahawan Melayu Islam ini meningkat.
"Sekarang ini setakat bulan Jun sahaja kita dah hampir 1,000 permohonan persijilan halal daripada usahawan bumiputra. Jadi yang ini saya ingat peranan yang dimainkan oleh JAKIM untuk mengalakkan pemain-pemain industrI dalam kalangan usahawan bumiputra untuk memohon persijilan halal tadi, jadi kita nampak trend itu sudah meningkat," kata Naim di Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Rumah Kebajikan Al Fattah di sini.
Beliau menyampaikan sumbangan RM100,000 melalui Yayasan Taqwa – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu membeli rumah kebajikan itu yang menempatkan 20 penghuni warga emas.
Katanya masyarakat juga perlu memastikan sesuatu produk bukan setakat menggunakan bahan halal tetapi juga harus bersih, tidak kira ia dikeluarkan syarikat milik Muslim atau bukan Muslim.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar)