KUALA LUMPUR, 27 Mei – Projek Sigma diperkenalkan sebagai inisiatif untuk memahami corak penerimaan maklumat serta keperluan Generasi Z (Gen Z), sekali gus membantu kerajaan menyesuaikan pendekatan komunikasi awam agar lebih relevan dan berkesan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil dapatan daripada Projek Sigma akan dijadikan asas untuk mempertimbangkan perubahan dalam kaedah penyampaian maklumat melibatkan jabatan dan agensi kerajaan.
“Walaupun fokus dalam Projek Sigma adalah organisasi media, kita faham bahawa mana-mana badan, jabatan atau agensi yang mempunyai audien tersendiri juga perlu sedar bahawa keperluan dan tingkah laku audien sedang berubah,” katanya ketika menutup Projek Sigma di ibu negara.
Beliau turut mengarahkan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) membangunkan modul latihan berasaskan dapatan projek tersebut,selain bekerjasama dengan Google bagi meneroka potensi peluasan inisiatif ini kepada pihak lain.
Projek Sigma telah berlangsung selama 10 minggu dan melibatkan enam organisasi media pelbagai bahasa, termasuk Berita Harian, The Star, dan Sin Chew Daily.