KUALA LUMPUR, 27 Mei - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja bersama pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC), China dan Timor Leste sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Majlis santapan yang dihoskan Istana Negara berlangsung selama sejam dilihat signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara negara ASEAN serta rakan dialog serantau.
Dalam titah ringkas Sultan Ibrahim, baginda mengalu-alukan kehadiran pemimpin ASEAN ke Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak ASEAN dan berharap agar semangat kebersamaan serantau dapat diperkukuh untuk membina masa depan yang inklusif, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
Perkara itu dilihat sebagai platform yang turut mampu menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian ASEAN secara keseluruhan.
Tedahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyambut ketibaan setiap pemimpin negara ASEAN sebelum menyampaikan Titah Diraja semasa majlis menghadap di Dewan Seri Mahkota.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.