BANGI, 27 Mei – Seramai 7,111 kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4 disenarai pendek untuk cabutan undi bagi melaksanakan kerja penyenggaraan jalan bagi tahun 2025, melibatkan keseluruhan nilai projek berjumlah RM182.396 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Projek-projek ini melibatkan jalan Persekutuan di Zon Tengah dan Timur Semenanjung Malaysia, membabitkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Tujuan kita mengadakan cabutan ini adalah untuk memberi peluang kepada kontraktor G1, G2, G3 dan G4 mendapat peluang secara adil dan telus.
"Kita juga adakan serentak di tiga lokasi di seluruh Semenanjung,” katanya selepas menghadiri Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di sini.
Jelasnya, semua proses pendaftaran dan tender dijalankan secara digital melalui portal syarikat Roadcare, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan.
Tambah beliau, Inisiatif itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa penyertaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan serta memastikan infrastruktur jalan negara kekal berkualiti, mampan, selamat dan selesa.