SERDANG, 13 November -Universiti Putra Malaysia (UPM) meneroka potensi teknologi kuantum dalam perlindungan data dan komunikasi digital seiring dengan kemunculan komputer kuantum yang menuntut sistem keselamatan lebih kukuh dan kebal daripada godaman.
Ke arah itu, UPM telah bekerjasama dengan Phison Electronics Corporation dan MaiStorage bagi membangunkan Kriptografi Atasi Zarah (KAZ-SIGN), teknologi tandatangan digital tahan kuantum pertama seumpamanya hasil penyelidikan tempatan.
Pengarah PTPKM, Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Dr. Kamel Ariffin berkata, KAZ-SIGN berfungsi sebagai tandatangan digital tahan kuantum (quantum-resistant digital signature) yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan formula matematik hasil penyelidikan pasukan UPM.
“Teknologi ini membolehkan proses pengesahan, integriti dan ketidaksangkalan data dilaksanakan dengan selamat walaupun dalam persekitaran digital berteknologi tinggi. Matlamat kami ialah membina algoritma keselamatan nasional yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat besar seperti Google, Telekom dan institusi kewangan pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, projek itu bermatlamat membangunkan sistem keselamatan nasional yang mampu menangkis ancaman komputer kuantum.
“Apabila kita bercakap tentang kriptografi, kita kena kembali kepada asas matematik. Matematik ini sebenarnya boleh dihidupkan bila diberi makna dan kriptografi menghidupkan matematik untuk satu tujuan penting keselamatan kuantum dan maklumat,” katanya lagi.
Sementara itu, kolaborasi tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem keselamatan digital nasional yang mampan, meletakkan UPM sebagai peneraju penyelidikan kriptografi pasca-kuantum di rantau ini sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju Negara AI dan Kuantum 2030.