fb fb fb fb fb

Pembentukan rasmi Majlis Media Malaysia dijangka menjelang HAWANA 2025

Foto Facebook Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 27 Mei - Pembentukan Majlis Media Malaysia, satu wadah bagi membincang serta memutuskan pelbagai perkara ke arah kelangsungan ekosistem media di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, senarai pasukan pertama yang bakal menyertai majlis itu sudah diterima dan surat pelantikan dijangka dikeluarkan sebelum pembentukan rasmi majlis berkenaan.

"Kita jangka dalam masa beberapa minggu ini, kita akan dapat menggerakkan usaha ke arah pembentukan secara rasmi majlis Media Malaysia.

"Setelah Rang Undang-undang itu diperkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan, maka kita boleh bergerak ke arah pembentukan dan ia akan memakan sedikit masa.

"Ini kerana selain daripada aspek pentadbiran, ada juga aspek kewangan melibatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Tetapi, saya jangka insya-Allah menjelang Hari Wartawan Nasional, kita akan ada berita baik tentang pembentukan Majlis Media Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Mei 2025.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis tersebut, Datuk Fahmi turut meminta fungsi Tabung Kasih @HaWaNa diperluas.

"Saya pohon supaya Tabung Kasih@Hawana itu kita teliti supaya dapat dikembangkan, kerana ramai para wartawan dan bekas wartawan yang mungkin perlukan bantuan yang dapat kita salurkan melalui tabung tersebut," katanya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI