KUALA LUMPUR, 4 Mei - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melakukan persiapan akhir sebelum sidang khas Parlimen berhubung tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan MITI telah menerima maklumat daripada kementerian dan pihak-pihak berkaitan, serta pandangan bernas Ahli-Ahli Parlimen daripada Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC).
"Esok, kita akan bedah siasat kesannya dan juga tindak balas Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Sidang khas Parlimen pada Isnin bertujuan membincangkan mengenai tarif timbal balik mengejut oleh AS ke atas eksport Malaysia yang mencetuskan kebimbangan kepada kerajaan dan juga industri.
Sidang tersebut diadakan atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.