fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak BRICS : Perdana Menteri akan tekankan kepentingan multilateralisme, orde dunia inklusif

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menekankan tentang kepentingan multilateralisme serta komitmen Malaysia terhadap orde dunia yang lebih seimbang dan inklusif pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata Datuk Seri Anwar akan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk:“Memperkukuh Multilateralisme, Ekonomi-Kewangan dan Kecerdasan Buatan (AI),” semasa sesi Negara Rakan BRICS di sidang kemuncak itu, esok.

Pada Isnin ini, Perdana Menteri akan menyampaikan satu lagi Kenyataan Negara bertajuk “Alam Sekitar, COP30 dan Kesihatan Global” pada sidang kemuncak tersebut.

Kedua-dua intervensi itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk mengukuhkan multilateralisme dan mengangkat suara dan kepentingan negara membangun, sejajar dengan objektif teras BRICS 2025.

“Menerusi ucapannya Perdana Menteri akan menekankan kepentingan multilateralisme melalui dialog membina dan kerjasama inklusif."

"Ini kerana Malaysia yakin platform seperti BRICS memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara membangun di Selatan Global," katanya.

"Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, menggalakkan kerjasama serantau melalui transformasi digital, tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI) dan perdagangan yang lebih inklusif,” kata beliau kepada media Malaysia menerusi sidang akhbar secara maya dari Brasília.

Perdana Menteri kini sedang dalam rangka lawatan ke tiga negara - Itali, Perancis dan Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung esok hingga 7 Julai.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Brazil, selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 sebagai negara yang dijemput pada tahun lepas.

Kedua-dua lawatan itu atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI