PETALING JAYA, 16 Oktober -Rapid Rail Sdn. Bhd. sedang meneliti penambahan kekerapan tren susulan penutupan beberapa laluan utama di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, langkah itu selaras saranan kerajaan agar orang ramai menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh persidangan.
“Kami dalam perancangan untuk meneliti semula, dan jika perlu, jumlah tren akan ditambah mengikut keperluan operasi.
Kekerapan pada waktu puncak dan luar puncak berbeza dan mungkin waktu puncak akan dipanjangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Taklimat Khas Penambahbaikan Operasi Rel Rapid KL di Menara Prasarana, di sini, hari ini.
Nor Azmi turut memberi jaminan, Rapid Rail akan memastikan kelancaran operasi melalui pemantauan rapi di semua laluan tren utama sepanjang sidang kemuncak.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, mutu perkhidmatan rel juga dipertingkat melalui perolehan 27 set tren baharu (KLAV27) bagi Laluan LRT Kelana Jaya, melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM1 bilion.
Kesemua tren baharu telah diterima sepenuhnya dan kini beroperasi setiap hari, sebagai sebahagian komitmen meningkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan sistem rel Rapid KL.
Inisiatif itu juga menyokong sasaran Prasarana Malaysia Bhd untuk mencapai purata 1.35 juta penumpang harian menjelang Disember 2025, seiring usaha menjadikan pengangkutan awam pilihan utama rakyat.
