fb fb fb fb fb

Persidangan ASEAN : Enam lebuh raya, 25 jalan utama terlibat lencongan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di ibu negara/RTM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara–Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.

Justeru, pengguna jalan raya di sekitar Lembah Klang dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka lebih awal.

"Lencongan dan penutupan berkala dilakukan untuk memastikan pergerakan ketua-ketua pemimpin negara yang menghadiri mesyuarat ini berjalan dengan lancar dan keselamatan mereka terjamin," katanya pada sidang media khas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.

Jalan lain yang terlibat ialah lebuh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.

Seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik akan ditugaskan sepanjang tempoh persidangan berlangsung bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta orang kenamaan.

Menurutnya sesi raptai pergerakan motosikal pengiring pula akan dijalankan bermula esok hingga 24 Oktober melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Pangkalan Udara TUDM Subang ke hotel-hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Seri Negara.

Beliau turut menasihati orang awam untuk mengelak laluan yang terlibat serta menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh persidangan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ