KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai operasi bagi mengawal populasi anjing terbiar yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya menerima 37,538 aduan dan melaksanakan 15,815 operasi tahun lalu.
Beliau menekankan bahawa tindakan bersepadu bersama agensi berkaitan penting sebagai respons kepada aduan awam serta memastikan keselamatan komuniti, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai populasi anjing terbiar tinggi.
Langkah itu selaras Seksyen 30(2)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk mengurus populasi haiwan mengikut mana-mana undang-undang bertulis sekiranya perlu.
"Buat masa ini, KPKT melalui PBT menggunakan kaedah TRRD – tangkapan, tuntutan semula, adopsi atau serahan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelupusan – yang melibatkan penangkapan anjing terbiar, tempoh tuntutan semula oleh pemilik asal, dan cadangan adopsi oleh pihak bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Mohamad Shafizan Kepli (Batang Lupar) yang meminta KPKT menyatakan langkah untuk mengawal dan mengurangkan populasi anjing liar yang mengancam keselamatan awam, khususnya kanak-kanak.
Aiman memaklumkan bahawa daripada 66,264 ekor anjing terbiar yang berjaya ditangkap sepanjang operasi, sebanyak 19,354 ekor telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula oleh pemilik atau diadopsi melalui program anjing angkat.