fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 taska operasi tanpa lesen, Selangor tertinggi

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Lebih 1,000 premis taska dikesan beroperasi tanpa lesen di seluruh negara, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 407 premis.

Ia diikuti 114 di Kuala Lumpur, 95 di Sarawak, 82 di Johor, 71 di Pahang, 66 di Pulau Pinang dan 60 premis di Kedah.

48 taska tidak berlesen juga dikesan di Kelantan, Negeri Sembilan (42), Melaka (33), Terengganu (30), Sabah (19), Perak (10), dua di Labuan dan satu di Perlis.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, jumlah itu dikenal pasti hasil operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sehingga 22 Ogos 2025, sebanyak 902 telah selesai diambil tindakan penguatkuasaan termasuk 294 buah telah berjaya didaftarkan dan baki 178 dalam tindakan penguatkuasaan," katanya di Dewan Rakyat.

Bagi menangani isu itu secara lebih menyeluruh, Task Force Penguatkuasaan Taska Tidak Berdaftar ditubuhkan, dengan pendekatan yang melibatkan bantuan konsultasi, panduan pendaftaran, dan pusat sehenti (OSC) bersama agensi teknikal seperti KKM, PBT dan Bomba.

Langkah itu turut disokong oleh kempen advokasi seperti ‘Jom Daftar Taska’ di peringkat komuniti.

Beliau turut menyeru semua pengusaha agar segera mendaftarkan premis masing-masing bagi menjamin keselamatan kanak-kanak serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN