fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN: PM, Trump bincang isu dua hala, krisis Gaza

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan isu dua hala dan global dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Beliau berkata, pertemuan tersebut bakal menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan AS, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Selain itu katanya, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu global yang mendesak termasuk situasi kemanusiaan di Gaza serta usaha ke arah keamanan serantau.

"Kami telah berhubung melalui telefon sebanyak dua kali. Beliau sangat mesra, menyokong dan mendengar dengan baik. Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga untuk menyuarakan pandangan saya mengenai perkara yang baik untuk Malaysia dan dunia termasuk isu berkaitan Gaza."

"Saya menghargai usaha beliau walaupun ada pandangan berbeza, kita harus mengiktiraf hakikat bahawa Trump telah memainkan peranan besar dalam menghentikan sekurang-kurangnya pengeboman di Gaza," katanya semasa sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, hubungan Malaysia dan AS kekal kukuh dan konstruktif, meskipun wujud perbezaan dasar dari semasa ke semasa.

Ikatan ekonomi dan diplomatik mendalam antara kedua-dua negara menjadi asas kukuh kepada kesinambungan kerjasama yang saling menguntungkan.

Jelasnya lagi, Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berprinsip dengan mengekalkan hubungan persahabatan serta kerjasama erat dengan semua kuasa besar, termasuk China, AS dan Kesatuan Eropah.

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN