KOTA BHARU, 21 Oktober - Sebanyak 3,910 saman dikeluarkan terhadap kenderaan Singapura yang tidak memasang dan mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), sejak 1 Julai hingga semalam.
Pengarah Kanan Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah tersebut pihaknya berjaya mengutip nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM1.173 juta sepanjang penguatkuasaannya di sempadan darat Malaysia-Singapura.
“Dalam konteks ini JPJ telah menggunakan pendekatan mana-mana pemandu kenderaan Singapura yang tidak menjelaskan saman dikeluarkan, pihak JPJ akan menyita kenderaan tersebut dan ini merupakan satu langkah yang sangat berkesan", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kursus Pemanduan Efisien di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 51,304 kenderaan Singapura telah diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Taman Daya Johor Bahru.
Menurut beliau, sebanyak 20,000 kenderaan secara purata memasuki Malaysia pada setiap hari melalui dua pintu utama iaitu CIQ BSI dan KSAB.
Sementara itu, Datuk Muhammad Kifli berkata, dalam tempoh sama, JPJ turut mengeluarkan 1,269 notis peringatan terhadap kenderaan persendirian syarikat daripada Singapura membabitkan kesalahan yang sama.