GEORGE TOWN, 21 Oktober – Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di Pulau Pinang telah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir sepanjang fenomena La Nina yang dijangka berlaku dari Oktober hingga Disember ini.
- Semua agensi Persekutuan dan negeri di Pulau Pinang bersedia menghadapi kemungkinan banjir semasa La Nina.
- Tindakan proaktif dilaksanakan untuk memastikan tindak balas pantas dan berkesan jika bencana berlaku.
- SDCC dinaik taraf bagi memperkukuh koordinasi teknikal dan logistik antara agensi pengurusan bencana.
- Langkah kesiapsiagaan termasuk pembersihan takungan, pemeriksaan alat pemantauan dan sistem amaran awal banjir.
- PKOB dan 389 pusat pemindahan sementara disediakan untuk dipergiatkan serta pam air dan kunci rumah pam diselia.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata tindakan proaktif menyeluruh ini diambil bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan dapat dilaksana sekiranya berlaku bencana.
Beliau menekankan kepentingan koordinasi di antara semua agensi pengurusan bencana di peringkat negeri, terutamanya selepas Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) baru-baru ini dinaik taraf untuk memperkukuhkan koordinasi teknikal dan logistik.
“Agensi-agensi teknikal di Pulau Pinang yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber air dan medikasi banjir telah melaksanakan langkah-langkah kesiapsiagaan.”
“Pembersihan turut dilakukan di kolam takungan sungai dan parit utama di kawasan ‘hotspot’ di stesen hidrologi dan pemeriksaan peralatan pemantauan paras air serta sistem amaran awal banjir serta peralatan operasi,” katanya dalam sidang media di pejabat beliau di sini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga diminta memastikan semua pam air berfungsi dan kunci rumah pam harus mudah diakses.
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini turut dipertanggungjawabkan menyimpan satu set kunci untuk memastikan sistem dapat diaktifkan segera jika diperlukan.
Tambahnya, Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri dan daerah juga telah bersiap sedia untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan serta penyelarasan operasi, selain kerajaan negeri telah mengenal pasti 389 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa.