KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bawah kepengerusian Malaysia kali ini akan membawa hasil yang berkesan dalam memperkukuh hala tuju komuniti serantau.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut beliau, fokus utama sidang kali ini adalah untuk memastikan ASEAN bersedia melaksanakan Visi ASEAN 2045, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin tidak menentu.
Menariknya, sidang kali ini menyaksikan buat pertama kali Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan bermesyuarat secara bersama, bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih selaras dan menyeluruh.
Sebelum ini kedua-dua mesyuarat dijalankan secara berasingan, menyebabkan dasar dan keputusan yang dibuat tidak diselaraskan dengan sepenuhnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persediaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.