fb fb fb fb fb

Rakyat diminta beri kerjasama sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada pemberita selepas meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Rakyat Malaysia diminta agar memberikan kerjasama penuh sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sepanjang tempoh persidangan itu, lebih 12,000 individu termasuk wakil media antarabangsa akan berada di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sebanyak 23 buah hotel turut dijadikan penginapan rasmi delegasi, dengan beberapa kawasan dijangka dikenakan kawalan keselamatan ketat.

"Saya harap rakyat Malaysia dapat beri kerjasama, elakkan kawasan KLCC dan hotel-hotel terlibat jika tiada urusan penting, kerana tumpuan dan keselamatan amat penting sepanjang sidang ini," katanya.

Tambah beliau sebagai tuan rumah, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam menunjukkan imej baik negara kepada dunia.

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini merupakan sidang terakhir Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, sebelum diserahkan kepada Filipina pada tahun hadapan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ