fb fb fb fb fb

BUDI95: Siling e-hailing dinaikkan, kelayakan diperluas kepada pengguna bot Sarawak

Gambar hiasan / BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Oktober – Siling penggunaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), lebih 53,900 individu akan menerima manfaat tersebut.

"Bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, MOF telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," demikian menurut kenyataan tersebut.

Selain itu menurut MOF, BUDI95 turut diperluas kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.

Ia merupakan penambahbaikan selepas kerajaan MADANI mengaktifkan kelayakan kepada pengguna bot di Sabah bagi mereka yang berdaftar bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), minggu lalu.

"Berdasarkan data daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan, lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak kini layak menerima manfaat BUDI95," katanya.

Sementara itu, lebih 11,400 pemegang lesen memandu baharu dan diperbaharui turut layak menerima BUDI95, menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat daripada program subsidi bersasar tersebut.

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID