fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47: Lebih 1,700 petugas media buat liputan

ASEAN Friendship Concert 2025 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Lebih 1,700 petugas media dijangka akan bertugas membuat liputan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah penambahbaikan akan dilaksana bagi memastikan kelancaran liputan media.

Ini termasuk menjamin capaian internet yang lebih baik.

Beliau menjelaskan ketika ini persiapan bagi tujuan tersebut telah mencapai antara 85 hingga 90 peratus dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang hari pembukaan rasmi.

"Dari segi persiapan termasuk broadband, bandwidth telah ditingkatkan. Saya juga telah mengarahkan pihak MCMC memasang 5G in a box di beberapa lokasi yang strategik bagi membolehkan para wartawan menikmati internet yang baik sepanjang perjalanan sidang kemuncak ke-47.

"Insya-Allah pada 22 Oktober ini, saya akan juga bertemu dengan rakan-rakan media untuk memberi beberapa taklimat tentang persiapan mutakhir menjelang sidang kemuncak ASEAN ke-47," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.

Datuk Fahmi memaklumkan beberapa maklum balas daripada penganjuran sidang kemuncak yang lalu turut diambil kira, termasuk isu teknikal dan ketersediaan internet.

Beliau optimis setiap keperluan asas akan dapat disediakan bagi memastikan kelancaran tugas petugas media dan bersedia memenuhi keperluan tambahan sekiranya ada.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID