KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Beberapa langkah bersama akan diselaraskan oleh negara-negara ASEAN bagi memperkukuh usaha menangani cabaran media sosial, selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata penyelarasan itu akan dilaksana melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab dan ia dijangka menjadi antara dokumen utama yang diterima pakai.
"Menteri-menteri komunikasi dari rantau Asia Tenggara telah bersetuju kita perlukan satu strategi bersama dan mengambil langkah bersama untuk mendepani cabaran semasa berkait isu media sosial.
"Itulah saya percaya salah satu kenyataan pendirian bersama menteri-menteri komunikasi ataupun menteri-menteri yang menjaga portfolio penerangan di semua negara ASEAN untuk kita bersatu hati, kita wujudkan perundangan yang seumpama ataupun serupa dan mengambil beberapa tindakan sederap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
