KEMAMAN, 19 Oktober - Dua daripada tujuh sekeluarga lemas ketika sedang berkelah dan mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman petang semalam.
Mangsa, Norhidayah Zakaria, 39, berasal dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.42 petang di Hospital Kemaman (HK).
Seorang lagi mangsa ialah anak saudaranya, Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, dari Ampang, Selangor pula meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal, kira-kira pukul 5.23 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang mandi di pantai berkenaan bersama lima lagi ahli keluarga mereka.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sedang mandi dan tiba-tiba telah ditarik ombak ke lokasi yang lebih dalam menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas.
"Mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya.
Bagaimanapun dua daripada mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kijal dan Hospital Kemaman.
Kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.